Thursday, July 22, 2010

Benjy Kekal 2 Tahun di Pusat Pemulihan

PUTRAJAYA 21 Julai - Pelakon Benjy kekal ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, Johor di bawah undang-undang pencegahan setelah artis berkenaan menggugurkan rayuan permohonan habeas corpus yang dikemukakannya.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan rayuan pelakon tersebut sejurus selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya memberitahu bahawa beliau mendapat arahan daripada anak guamnya agar rayuan itu ditarik balik.

Benjy menggugurkan rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mei lalu yang menolak permohonan habeas corpus agar dia dibebaskan daripada tahanan salah.
Ketika itu, dia ditahan selama 60 hari bermula 25 Mac lalu mengikut Seksyen 3 Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas - LLPK) 1985.

Pada hari yang sama permohonan habeas corpus itu ditolak, Menteri Dalam Negeri memerintahkan Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 32, ditahan di Muar selama dua tahun di bawah Seksyen 6 (1) LPPK.

Anak lelaki tunggal pelakon veteran, Azean Irdawaty itu ditahan selama 60 hari selepas dibebaskan dengan jaminan RM2,000 sementara menunggu kes yang dihadapinya kerana memiliki dadah, dibicarakan.

Benjy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki methamphetamine seberat 0.24 gram di premis beralamat A-6-5 di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di ibu negara pada 4 petang, 11 Mac lalu.

Hari ini, panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong sepatutnya mendengar rayuan Benjy bersama-sama rayuan lapan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Panel itu dijadualkan mendengar isu undang-undang sama ada rayuan Benjy masih boleh diteruskan walaupun dia bukan lagi di bawah tahanan polis selepas dipindahkan ke PPA Muar atas perintah Menteri Dalam Negeri.

Bagaimanapun, rayuan lapan bekas tahanan ISA itu yang ditahan di bawah ISA kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berunsur keganasan masih diteruskan dan ditetapkan ke tarikh lain.
Peguam yang mewakili kelapan-lapan tahanan itu akan menghujahkan perkara serupa iaitu sama ada rayuan boleh diteruskan sedangkan tujuh daripada mereka telah dihantar ke negara masing-masing manakala rakyat tempatan, Azzahari Murad dikenakan perintah tahanan terhad.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan habeas corpus kelapan-lapan mereka setelah mendapati penahanan itu sah di sisi undang-undang walaupun mereka tidak lagi di bawah tahanan polis.

Sumber dari UTUSAN

2 comments:

♥♥♥♥ dilaBanGi ♥♥♥♥ said...

Beruntung lah benjy tak dihukum gantung tu. org lain disabit berparner ngan dadah ni dah lama di ikat leher. ni dah sah ada makmal, ada buku lagi tak dihukum gantung. emmm undang2 ..........

::Kak Sambal:: said...

dila, ye betul... pengaruh mak die pun sama...mintak simpati..